Tuesday, February 3, 2009

M.A.IN PC???

Fasa pertama M.A.IN PC dilancar
sumber : Utusan Malaysia Online

DALAM usaha merapatkan jurang digital antara penduduk luar bandar dengan masyarakat di kawasan bandar, pelbagai langkah telah giat dijalankan bagi memperkasakan keupayaan penggunaan teknologi berkaitan yang selari dengan peredaran masa mampu diterapkan pada golongan berkenaan. Justeru, Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) telah mengambil inisiatif dalam melancarkan ‘Projek Menguasai Aplikasi Internet & PC’ (M.A.IN & PC) fasa pertamanya. Sehubungan pelancaran projek tersebut, sebuah pusat M.A.IN PC (PMPC) pertama telah diwujudkan bagi merealisasikan objektif merapatkan jurang digital di kalangan masyarakat di negara ini.

Menurut Presidennya, C. J. Ang, langkah ini adalah sejajar dengan objektif kerajaan dalam merapatkan jurang digital di kalangan masyarakat umum dan juga dijadikan sebagai platform untuk mempertingkatkan keupayaan dan pengetahuan kumpulan sasar terhadap dunia industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). “Pusat PMPC yang dilengkapi dengan perkakas IT itu dijangkakan mampu membimbing masyarakat terutamanya golongan luar bandar menerusi modul latihan dan kurikulum yang disediakan. “Selain, mendidik masyarakat menguasai aplikasi ICT, objektif lain yang disasarkan ialah bagi membolehkan golongan sasar mempertingkatkan produktiviti menerusi penggunaan aplikasi ICT sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka,’’ katanya kepada pemberita, baru-baru ini.

Secara berfasa
Dalam pada itu, projek yang dijalankan secara berfasa ini akan memperlihatkan kewujudan 20 lagi buah pusat PMPC akan dibina di seluruh negara menjelang penghujung 2008. Sementara itu, jelas Ang lagi, PMPC yang pertama itu dijadikan projek perintis serta pengukur tahap keberkesanannya terhadap masyarakat. Sekiranya ia berkesan, projek tersebut akan diteruskan dengan fasa kedua yang memperlihatkan sebanyak 150 buah PMPC diwujudkan di seluruh negara menjelang 2010. Selain itu, Pikom turut mendapat sokongan daripada pelbagai syarikat dan pertubuhan bagi memberi bantuan serta kerjasama. Ini termasuk, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Microsoft Malaysia; Kelab Lion; Cybercare; Hewlett-Packard Malaysia; Intel Malaysia; Telekom Malaysia dan juga Cuscapi. Buat masa ini, pusat pertama PMPC itu yang terletak di Pusat komuniti Petaling Jaya, Selangor dikendalikan oleh Majlis Perbandaran Petaling Jaya.

No comments:

Post a Comment